Sunday, 4 January 2015

Apa yang kau dapat?

"Pertapaan kau di surau dah berakhir, kan?"

Pak imam bersandar di dinding surau. Kelihatan lantai surau masih kekuningan. Bekas lumpur banjir yang masih baru. Perlu disental lagi beberapa kali, mungkin. Aku mengangguk perlahan.

"Jadi, apa yang kau dapat?"

Aku memerhatikan suasana dalam surau, sekeliling. Semuanya sudah tidak seperti sebelum banjir besar melanda. Dah tak macam surau rupanya.

"Semua yang kita ada, tidak pernah akan ada selamanya. Begitu juga dengan nafas ini, nyawa ini, jasad ini, hati ini. Semuanya sementara. Surau ini juga. Apa yang tersemat lama, adalah kenangan. Surau ini juga, cuma alat yang terjejas. Yang tidak terjejas pada Allah adalah amalan yang dilakukan orang-orang yang mengimarahkan surau ini.

Aku cuba berfalsafah seperti pak imam. huhu. Pak imam senyum.

"Kau tak nampak lebih dalam lagi. Sebenarnya, air banjir yang datang ini mengingatkan aku kepada perumpamaan taubat. Misalnya seseorang manusia itu, luarannya nampak sempurna. Cantik, segak, berbaju lengkap dan berjenama. Nampak sihat dan bertenaga. Tapi, siapa tahu apa sebenarnya yang berada di dalam jiwanya? Berkelodak hitam.

Taubat itu umpama air yang menjirus. Air yang menyimbah. Air yang menghempas lebih deras dari ombak tepi pantai. Selagi seseorang itu tidak taubat, selagi itulah lumpur hitam dalam dirinya tidak berganjak.

Rumah yang dipenuhi lumpur tanah pun sudah tidak senang dilihat di mata, apatah lagi lumpur dosa hitam yang berdaki di jiwa. Andai mata kasar kita ini diberi penglihatan melihat jiwa sendiri di cermin, sudah pasti mahu disental, ditonyoh, disapu, diwaterjet segala kotoran yang tersisa.

Air banjir membuka pekung jiwa manusia yang sebenar. Barulah tahu, siapa yang sebenarnya bersabar, siapa sebenarnya yang hilang sabar. Siapa sebenarnya yang hati putih, siapa yang berhati hitam.

Yang berjiwa hamba, terima dengan reda.
Yang berjiwa sebaliknya, mengeluh sepenuh jiwa.

Kun fa ya kun.

Sedangkan kerajaan Firaun yang sangat kukuh gah berdiri pun hancur tamadunnya tinggal sisa bangunan dan monumen saja. Inikan pula rumah kecil kita. Barulah kita sedar, kuasa dari kerajaan Siapa yang sedang bermaharajalela. Kerajaan Allah sedang menguji kita."

Pak imam datang dekat padaku.

Meletakkan serbannya di bahuku.

"Nah, hadiah untuk kau. Sebab setia di surau ini belajar agama."

Hampir bergenang air mata ini. Melihat orang tua itu yang petah berbicara.

"Mam, ada nasihat lagi tak?"

Pak imam tersenyum.

"Ada. Kafa bil mauti wa 'izon. Maksudnya, cukuplah kematian itu sebagai penasihat."

Aku peluk pak imam erat-erat. Air mata berderai-derai.

No comments:

Post a Comment