Tuesday, 23 December 2014

Andaiku Tahu Bila Sampai Ajalku

Tazkirah
27Safar 1436@20/12/2014

Memang sebagai manusia biasa, perasaan takut untuk menghadapi saat kematian akan datang kepada kita. Kita tahu dan yakin dengan kematian, akan berhadapan dengan malaikat maut, akan dimasukkan ke dalam kubur dan berdepan dengan alam barzakh, bersama malaikat munkar nakir. Kita yakin akan persoalan yang akan ditanya dan jika gagal, kita akan dipukul sehingga terbenam 70 hasta ke dalam bumi. Dan akan ada seorang lembaga merupakan amalan kita, andainya baik amalan berupa lembaga yang tampan dan wangi. Andainya buruk amalan, kita yakin lembaga yang buruk, hodoh dan busuk baunya akan menemani kita sepanjang di dalam kubur.

Kita juga yakin pada orang beriman akan berlaku nikmat-nikmat di dalam kubur, berada bagaikan seorang bayi di dalam pelukan ibunya, dibuka pintu syurga sehingga harumannya sampai ke dalam kubur. Dan kita juga yakin akan berlaku berbagai azab bagi orang yang derhaka, didatangkan kala jengking, ular yang besar, serta himpitan kubur sehingga berselisih tulang rusuk. Bahkan dibuka pintu neraka sehingga bahang bakaran dan jerit pekik neraka sampai ke kubur.

Semua itu kita tahu, yakin dan itulah yang menjadikan kita menjadi taat atau derhaka. Namun kerana iman kita belum masuk ke dalam hati, hanya baru bertunjang di akal, maka kita seakan lupa akan persoalan mati ini. Kita lalai dengan anak isteri, harta, pangkat dan dunia yang ada disekeliling kita. Maka kita pun lalai sehinggalah sampai masa kematian pun tiba.

Cuma tarikh kematian ini tidak diberi tahu kepada kita. Kalau kita tahu kematian kita, kita akan minta seperti yang berlaku kepada lirik lagu..."andai ku tahu". Kita akan minta Tuhan panjangkan umur kita. Kita akan minta jangan dicabut nyawa kita. Inilah sifat manusia yang lalai dan lupa, suka memberi alasan dan memenangkan nafsu dengan alasan-alasan itu. Sebab itu kita tidak diberitahu tarikh kematian kita. Cuma tanda-tandanya sudah awal datang kepada kita.
1. Mata sudah kabur
2. Kulit sudah kendur
3. Uban sudah bertabur
4. Gigi sudah gugur
5. Ramai kawan dan saudara mara kita dah masuk kubur

Maka marilah kita semua bersedia untuk suatu yang pasti tiba. Walaupun tarikhnya tidak dikhabarkan tapi dengan persediaan ini, kita berharap dan memohon izinkan kita mengakhiri hayat ini dengan taubat. Maknanya kerana tak tahu bila akan mati, maka kita mulakan taubat sekarang dan seterusnya. Tak putus-putus hati kita memohon keampunan dari Allah.

Bukan itu sahaja, kita akan iringi taubat dengan amal bakti. Dengan niat setiap bakti itu sebagai penebusan dosa-dosa yang kita lakukan. Hati terus bertaubat dan merendah diri kepada Zat Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. Mana mampu untuk menanggung azab dan seksa nerakaNya, sedangkan sebagai hamba yang berdosa, mana layak untuk masuk syurgaNya. Lantas terus memohon ditaubatkan dan diampunkan dosa-dosa kita. Kerana bukankah Allah itu Maha Pengampun akan dosa-dosa hambaNya.

Wassalam

No comments:

Post a Comment