Sunday 2 March 2014

Renungan Dari Sahabat

Kenapa couple haram? Jijik sangatkah couple ini?
Sebenarnya bukan soal jijik, kotor atau sebagainya. Ianya soal tanggungjawab kita kepada Allah Taa'la. Saya tidak melihat tujuan besar kita umat Islam hidup di bumi ini selain tujuan untuk sama-sama berusaha mencari redha Allah. 

Apa dalil yang mengharamkan couple sedangkan Allah ciptakan manusia untuk berpasang-pasangan? 
Ehem, sebelum anda bertanya dalil atau nas yang mengharamkan perbuatan couple ini, nyatakan dahulu kepada saya dalil yang membenarkan anda untuk couple. Bukan mahu berlagak pandai. Saya hanya bertanya untuk kepastian. Jika ada, saya mahu belajar. 
Ramai yang beri rujukan melalui firman Allah SWT  dalam Al-Quran yang bermaksud,

“Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui.” (Surah Yasin(36) ayat 36)

Dan juga firman-Nya dalam Surah Al-Hujrat(49) ayat 13:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Meskipun begitu, saya melihat ayat-ayat ini tidak menjelaskan yang kita boleh mengadakan hubungan percintaan dan berkasih kasihan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Banyak larangan Allah dalam Al-Quran yang melarang hubungan-hubungan ini. 
Baiklah, sebelum saya lanjutkan kepada larangan yang lebih jelas, mari kita lihat apa itu couple dan dimana tempat couple di dalam Islam? Couple dalam istilah Melayu bermaksud "Pasangan". Perbuatan berpasang-pasangan seperti yang kita tahu dalam Islam menjadi halal apabila pasangan tersebut berkahwin. Tetapi kita perlu faham, budaya couple yang terjadi sekarang bukanlah datang dari ajaran Islam malah tidak pernah dituntut. Budaya couple ini wujud dari ajaran orang-orang Barat (Yahudi) yang mana membenarkan golongan remaja berpasang-pasangan malah melakukan hubungan seks sebelum berkahwin. 

Sebelum ini saya pernah sebut Islam tidak haramkan seks. Ya, memang betul, tapi Islam melorongkan seks itu kepada perkahwinan. Islam tidak haramkan makan dan minum. Tetapi Islam melorongkan makan dan minum itu kepada makanan dan minuman yang halal. Begitu juga cinta, cinta tidak haram. Malah cinta itu fitrah. Tapi Islam mendidik kita untuk meletakkan cinta itu pada tempat yang baik. 

Ada yang cakap,
"Kami couple je, bukan berzina pun!"
"Kami tahu couple haram, tapi kami couple Islamik. Couple yang ikut hukum Islam."

Oleh sebab salah faham beginilah saya tulis artikel ini. Risau dan bertambah risau. Bukan saya cemburu dengan kebahagiaan anda sebagai couple. Tetapi atas rasa tanggungjawab untuk menegur dan menjelaskan supaya semua orang faham kenapa couple itu haram. 
Suka untuk saya ingatkan bahawa tidak pernah wujud istilah "couple islamik" dalam Islam. Kalaupun wujud dalam novel-novel cinta Islamik. Saya rasa itu bukan rujukan yang baik untuk mentarbiyah diri. Kita kena faham, haram itu bukan letaknya pada nama, tetapi letaknya pada perbuatan. Couple itu haram, kalau letak perkataan couple islamik sekalipun, ia tetap haram. Begitu juga riba, kalau ditukar nama kepada "faedah atau upah" sekalipun, ia tetap haram.
Mari kita rujuk firman Allah SWT yang bermaksud,

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). "(Al-Isra' 17:32)

Nampak perkataan yang saya Bold kat atas tadi? "Menghampiri". Kita perlu faham perkataan menghampiri antara lain membawa maksud mendekati. Dalam ayat ini, Allah melarang kita mendekati zina. Allah menggunakan kalimah ‘walaa taqrobuu’ (jangan hampiri) dan bukannya kalimah ‘walaa ta`maluu’ (jangan melakukan). Allah SWT bukan sahaja melarang kita berzina, tapi menghampiri zina pun Allah larang. Faham tak? Couple itu pun sudah termasuk dalam kategori "menghampiri zina". Kalau kita couple, bermakna kita sudah menapak masuk mendekati zina. Kan dah haram tu.

Anda kata couple Islamik itu halal dan dibenarkan? Halal bagaimana? Kalau anda kata pasangan anda selalu pesan untuk tunaikan solat. Itu belum tentu halal. Kalau anda kata anda dan pasangan anda tidak pernah bersentuhan kulit. Itu pun belum tentu halal. Kenapa?

Sebabnya banyak lagi larangan yang perlu anda ambil berat. Bila dah couple, mesranya sudah lain, layanannya sudah lain, perasaannya pun sudah lain, pergaulannya pun dah jadi lain. Keluar dating? Walaupun tak berpegang tangan, cuma berjalan dan berbual. Anda pasti berdua-duaan. Tidak terjaga ikhtilat dan boleh mengundang fitnah. Fitnah dalam Islam ini pula luas maknanya. Kalau rajin, silakan belajar. Apa pun kesian mak ayah kita tanggung dosa. 

Mari kita rujuk pula Firman Allah dalam Surah An-Nur(24) ayat 30:

“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.".

Dalam ayat ini, jelas Allah telah memerintahkan kita supaya kita menjaga pandangan kita daripada memandang perkara-perkara yang dilarang, termasuklah memandang wanita bukan mahram serta wajib bagi kita menjaga nafsu. Perintah ini bukan ditujukan kepada kaum Adam sahaja. 

Dalam ayat yang seterusnya Allah berfirman dalam Surah An-Nur(24) ayat 31:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya,...”.

Dua ayat dari Surah An-Nur ini sebenarnya seingat saya terdapat dalam sukatan mata pelajaran Pendidikan Islam bab Al-Quran & Sunnah tingkatan 5. Para pelajar tingkatan 5 sepatutnya lebih jelas akan perkara ini. Jangan masuk kelas pendidikan Islam belajar cuma untuk SPM sahaja. Fokus untuk hidup. 

Daripada ayat ini tadi jelas Allah melarang lelaki dan perempuan bukan mahram daripada saling berpandang-pandangan dengan niat untuk suka-suka, apatah lagi untuk memuaskan hawa nafsu.

Saya bagi contoh mudah, bila sudah couple, anda terbayang boyfriend atau girlfriend anda cium pipi anda macam dalam drama TV. Berpeluk macam filem hindustan, makan suap-suap macam drama Korea. Semua perbuatan ini akan mengundang pula kepada zina hati. Zina hati ni anda imagine yang melampau-lampau sedikitpun sudah berdosa. Rosak iman.

SMS, setiap hari kena ucap selamat pagi, nak tidur ucap selamat malam, ada ucapan-ucapan istimewa, romantik lagi mesra, "I Miss U", "I Love U" dan sebagainya. Walaupun cuma dalam SMS (Mesej) di telefon bimbit. Ianya juga sudah membawa kepada zina hati. Tidak terjaga ikhtilat. Sedangkan awak dengan pasangan itu bukan mahram. Boleh berkahwin dan perlu jaga batas pergaulan. Ada maruah bukan?

Apa itu zina hati? Rasulullah SAW jelaskan dalam hadisnya tentang bagaimana menghampiri zina tu. Anda boleh 'check' dalam Riyadahus Solihin, bawah bab larangan melihat wanita. Rasulullah SAW bersabda, mata boleh berzina dengan melihat, lidah boleh berzina dengan bercakap, tangan boleh berzina dengan berpegangan. Kaki boleh berzina dengan berjalan ke arah tempat maksiat. Hati pula boleh berzina dgn merindui, mengingati dan membayangi si dia.

Hakikatnya, macam mana pun anda buat, anda tetap tak dapat lari daripada zina hati. Tak takut lagi?
"Kenapa Islam larang sangat couple ni? katanya Islam itu mudah, Islam itu indah."
Ya, sebab Islam itu mudah. Islam galakkan anda berkahwin. Sebab Islam itu indah Islam larang couple. Islam jaga martabat dan maruah wanita. Maruah orang perempuan dan juga maruah orang lelaki. Masing-masing berharga. Kenapa kita tak sayang diri? Cuba perhatikan, berapa ramai yang couple kekal sampai berkahwin? Berapa ramai yang couple kemudian clash, kemudian couple dengan orang lain dan clash lagi? Kenapa kita tidak ambil iktibar. Kenapa tak nampak larangan Allah itu semuanya untuk kebaikan kita. Kenapa perlu persoalkan lagi??? Kenapa degil?

"Kami couple, tapi mak ayah kami restu. Boyfriend saya selalu datang rumah. Mak siap masak beri dia makan! Kadang-kadang mak ayah panggil dia menantu. Kenapa awak pula sibuk nak halang?"

Begitu sekali? Kembalilah bertaubat kepada Allah. Anda pun tak boleh meletakkan salah kepada ibu ayah anda 100% dalam permasalahan ini. Boleh jadi ibu ayah anda sendiri tidak tahu akan salahnya membenarkan anak couple. Merelakan anak gadis dibawa ke hulu ke hilir oleh lelaki bukan halal untuk anaknya. Ibu ayah selalunya menganggap itu rakan anda. Sekalipun anda cakap dia 'Boyfriend' anda. Ada ibu bapa yang tak melarang sebab tak tahu ianya salah.

Kena sedar, tak semua orang Islam membesar dalam keluarga yang ada didikan agama yang sempurna sejak kecil. Bagi yang kurang didikan agama di rumah, pasti isu couple ini ia seolah suatu kebiasaan yang ditiru oleh masyarakat kita. Couple itu dilihat sebagai budaya yang biasa diamalkan. Sedangkan ia masalah berat dalam konteks agama Islam. Seorang ayah yang merelakan anak gadisnya dibawa keluar oleh lelaki yang bukan halal untuk anaknya ke sana ke sini tanpa ditegur akan mengundang kemurkaan Allah. Rezeki yang diperolehnya tidak berkat. Gaji beribu ringgit masih terasa tidak cukup. Terpaksa berhutang. Itu contoh hilangnya berkat rezeki. Malaikat rahmat juga lari keluar rumah. Ibu Ayah sering bergaduh. Keluarga tak bahagia. Dan banyak lagi masalah akan datang.
Mungkin kita tak nampak salah couple ni sebab masyarakat anggap itu budaya yang kebiasaan.

Tapi dalam tak sedar, kita hilang dari pandangan Allah. Allah biarkan kita leka dengan perbuatan itu. Buat masa sekarang, bukan masanya untuk menuding jari ke sana ke mari. Tak perlu salahkan ibu bapa kerana tidak menegur. Ianya berbalik pada kita sendiri. Bagaimana mahu memperbetulkan semuanya? Kita sudah besar. Kenal agama dan kenal diri. 

Mari sama-sama ubah. Kalau dahulu zaman jahiliyah sewaktu zaman Rasulullah SAW ramainya orang menolak dakwah adalah kerana ramai orang yang tidak berilmu, tidak tahu menulis dan membaca. Maka mereka keras menolak dakwah Rasulullah SAW. Tapi hari ini. Zaman jahiliyah berulang lagi. Malah lebih teruk kerana kita boleh membaca, kita ada ilmu. Kita tahu apa itu halal haram. Tapi kita buat juga apa yang Allah larang. Kita tolak teguran, kita persoalkan apa yang telah diharamkan. Sebab apa? sebab kita nak seronok. Nak macam orang lain. Nak bebas.

"Orang yang tahu tidak semestinya sedar, tetapi orang yang sedar pasti akan tahu"

Berapa ramai antara kita yang tahu tentang haram couple, tapi dia tak sedar diri. Jadi dia tetap couple. Tak ambil endah apa orang cakap couple itu haram! Tetapi lain pula orang yang sedar diri bahawa couple itu haram dalam masa yang sama mesti dia tahu apa yang dia perlu buat untuk cari redha Allah.  

No comments:

Post a Comment